Burung Terancam Jalani Pembedahan Otak

WELLINGTON: Seekor burung kakak tua daripada spesies yang terancam menjadi burung pertama di dunia menjalani pembedahan otak dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa haiwan itu.

Doktor haiwan dari Hospital Wildbase di Universiti Massey menggunakan teknik pembedahan yang digunakan pada manusia dan mamalia lain pada burung kakak tua kakapo yang dilahirkan dengan lubang di tengkorak.

Burung berusia 56 hari dan dikenali sebagai Espy 1B dipantau doktor dan dilaporkan semakin pulih susulan pembedahan yang pertama kali dilakukan itu.

Renjer di Pasukan Pemulihan Kakapo di Jabatan Pemuliharaan mula mengesan burung terancam itu memerlukan rawatan segera apabila melihat ketumbuhan pelik di kepalanya selepas ia menetas.

Burung itu dibawa ke Hospital Wildbase dan doktor mendapati burung itu hanya mempunyai satu lapisan tisu nipis yang melindungi otaknya.

Menyedari keadaan itu doktor memutuskan membuat pembedahan pada burung berkenaan untuk menggantikan tisu nipis itu dengan plat yang lebih keras.

Pengarah Hospital Wildbase, Profesor Brett Gartrell berkata, imbasan CT menunjukkan plat tengkorak burung itu tidak terbentuk sepenuhnya dan ia mendedahkan otak haiwan itu kepada jangkitan.

Kakapo adalah spesies burung kakak tua yang tidak boleh terbang dan ditemui di pulau-pulau kecil New Zealand

Burung itu terkenal dengan jangka hayat yang lama dan boleh hidup hingga mencecah 90 tahun tetapi semakin terancam selepas kebanyakan pulau didiami manusia.

Kakapo juga mempunyai strategi pertahanan diri yang lemah apabila berada dalam keadaan bahaya burung itu hanya mendiamkan diri sekali gus memudahkan ia ditangkap.

CREDIT TO AGENSI HMETRO

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *