Kucing Berjaya Diselamatkan Dalam Lubang Daripada Lemas

NILAI: Tindakan pantas anggota bomba yang memberi bantuan pernafasan kepada seekor anak kucing yang diselamatkan dari saluran paip di sebuah rumah di sini, hari ini, berjaya menyelamat haiwan itu yang hampir lemas.

Anak kucing jantan itu terjatuh ke dalam lubang saluran paip di luar sebuah rumah di Nilai Impian, ditemui oleh pemilik rumah yang tinggal di tempat lain, tetapi kebetulan datang memeriksa rumah itu.

Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syazwan Saidy, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi, memaklumkan bahawa seekor anak kucing terperangkap dalam saluran itu.

Katanya, anak kucing itu itu yang berada kira-kira 0.3 meter dalam saluran paip dipenuhi air, kelihatan tidak bergerak selepas dikeluarkan dalam tempoh kira-kira 30 minit.

“Anggota bomba dengan segera meletakkan alat bantuan pernafasan pada mulutnya dan menekan dadanya untuk mengeluarkan air dari tubuh haiwan itu,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Syazwan bersyukur kerana haiwan itu bertindak balas terhadap usaha mereka walaupun pada mulanya kelihatan seperti tidak bernyawa.

Sementara itu, pemilik rumah, Pietro Mohd Isa, 51, berkata anak kucing berusia antara dua hingga tiga minggu itu kini dirawat di sebuah klinik haiwan dekat sini dan keadaan kesihatan haiwan itu adalah positif.

Katanya, doktor haiwan memberitahu anak kucing itu perlu dipantau dalam tempoh seminggu.

Beliau juga mahu menjadikan anak kucing yang tidak diketahui pemiliknya sebagai haiwan peliharaan kerana isterinya menyukai kucing.

“Bagi mengenang kejadian ini dan jasa anggota bomba menyelamatkan anak kucing itu, saya menamakannya sebagai Bomba,” katanya.

CREDIT TO HARIAN METRO, LENTERA EMAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *